Jumaat, 23 April 2010

Hasil benih kelah terbaik

IKAN kelah bukan sahaja terkenal kerana keenakan rasa dagingnya yang mempunyai tekstur yang halus malah ia sangat kuat melawan sekiranya terkena mata pancing.
Justeru, kombinasi semangat juangnya yang tinggi apabila terkena mata kail serta isinya yang sedap menjadikannya buruan kaki pancing dan peminat ikan air tawar.
Akibat tekanan penangkapan yang melampau dan permintaan yang tinggi di pasaran ia kini diancam kepupusan.
Dikenali sebagai ‘King of the River’, kelah merupakan ikan yang hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia dan di Malaysia hanya terdapat tiga spesies.
Kebanyakan ikan kelah yang dijumpai di Malaysia ialah kelah merah.
Menurut Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut.
”Secara logiknya, ikan kelah adalah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju.
”Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat tersebut.
Selain itu, ikan kelah mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik.
Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping.
Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor).
Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya.
Ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai.
Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekali gus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan