Sabtu, 24 April 2010

Kelah merah penghias akuarium, kolah.

IKAN kelah merah memang terkenal kerana keunikan serta kesukaran untuk mendapatkan sama ada untuk dipelihara atau dijadikan lauk kerana ia pada kebiasaannya mendiami di hulu sungai di kawasan pedalaman hutan tebal.
IKAN kelah merah memang terkenal kerana keunikan serta kesukaran untuk mendapatkan sama ada untuk dipelihara atau dijadikan lauk kerana ia pada kebiasaannya mendiami di hulu sungai di kawasan pedalaman hutan tebal.

Spesies ini semakin mendapat perhatian pemilik akuarium untuk memeliharanya dan harganya boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Ia juga tidak ganas dan boleh dipelihara bersama ikan lain. Ikan yang dipelihara dalam akuarium boleh diberi makanan pellet (jenis pellet ikan koi) dan juga udang gantung (Macrobrachium lanchestri). Kalau sebelumnya ini hanya ikan besar ditangkap untuk dijadikan juadah, kini anak kelah ditangkap dan dijual di kedai akuarium dengan harga yang mahal.

Amalan memelihara ikan dalam akuarium atau dalam kolam kecil di laman rumah adalah hobi yang menyeronokkan. Hobi dan minat begini perlu digalak dan ditanam dalam diri generasi muda sejak kecil lagi.

Kegemaran masyarakat kita memelihara ikan hiasan lebih mementingkan kepada jenis ikan yang dipelihara, bukan kepada sistem di dalam akuarium itu sendiri iaitu secara mewujudkan keseimbangan biologi dalam ekosistem akuarium. Ini boleh dilakukan dengan menanam tumbuhan akuatik dan menyediakan penapis biologi yang dapat menampung sisa yang dihasilkan ikan peliharaan sehingga beberapa bulan tanpa menukar airnya.

Alangkah baiknya seandainya di kalangan penggemar ikan hiasan yang memelihara ikan kelah sehingga mencapai saiz tertentu atau terlalu besar untuk dipelihara di dalam akuarium; supaya melepaskan ikan itu ke dalam sungai atau tasik untuk ia berkembang biak.

Perbuatan sebegini adalah suatu usaha yang sangat disanjung. Malangnya ada antara kita yang kurang prihatin terhadap tindak tanduk yang dilakukan iaitu menangkap ikan dengan sewenang-wenangnya dan memasarkannya ke luar negara secara haram.

Menuba, meracun atau menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan sepatutnya dielakkan sama sekali kerana ini akan memusnahkan banyak sumber fauna dan merosakkan ekologi perairan kita.

Jumaat, 23 April 2010

Terapi Kelah

Menurut Mohd. Noor, urutan ikan berkenaan amat melegakan, apatah lagi banyak kulit pada kaki dan tapak kaki sudah rosak akibat pendakian selama 111 hari itu.
"Geli tetapi melegakan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam jurugambar
RANAU 21 April - Selepas menamatkan cabaran mendaki Gunung Kinabalu sebanyak 111 kali semalam, pendaki solo, Mohd. Noor Mat Amin hari ini merehatkan badan dan minda dengan menikmati urutan ikan kelah di pusat pelancongan Tagal Morali, Kampung Luanti Baru dekat sini.
Utusan Malaysia itu menamatkan fasa pertama percubaan melakar nama dalam Guinness World of Records dengan mendaki Gunung Kinabalu dan Menara Kuala Lumpur sebanyak 111 kali.
Fasa pertama projek pendakian bertemakan 1Pendakian, 1Kemuncak dan 1Malaysia itu bermula 31 Disember tahun lalu, manakala fasa kedua membabitkan pendakian di Menara Kuala Lumpur akan bermula 8 Mei ini.
Menurutnya, dia bersama krew pendakian menghabiskan masa selama 30 minit sebelum berehat dengan menikmati keindahan pusat pelancongan berkenaan.
Mengenai persiapan mendaki Menara Kuala Lumpur, Mohd. Noor berkata, beliau akan melakukan latihan ringan seminggu sebelum pendakian bermula.
Katanya, latihan tersebut bertujuan memastikan stamina beliau kekal pada tahap sedia ada.
Menurutnya, beliau akan pulang ke Kuala Lumpur pada 26 April ini untuk memenuhi beberapa undangan termasuk menjadi tetamu rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) pada 27 April ini.
"Sementara menanti pulang ke Kuala Lumpur, saya akan menghabiskan masa dengan mengunjungi pihak yang telah banyak membantu menjayakan pendakian di Gunung Kinabalu khususnya Universiti Malaysia Sabah (UMS)," katanya.
Menurut beliau, sebaik menghabiskan jadual di Kuala Lumpur, perkara pertama yang akan dilakukan ialah bertemu ayahnya, Mat Amin Ismail dan ibunya, Sulong Mohd. di Kuala Terengganu.
Beliau menambah, tarikh pertemuan terpaksa dirahsiakan bagi memastikan pertemuan itu berlangsung dalam suasana santai dan tidak membebankan sesiapa.
Rekod pendakian Mohd. Noor terdahulu adalah pendakian Solo 50 Puncak Kinabalu Merdeka (2007), Pendakian Solo Menara Kuala Lumpur (2008), Pendakian Merdeka (2008) dan Pendakian Solo Tanpa Henti 24 Jam di Menara Kuala Lumpur (2008).
Akhbar Utusan Malaysia, Kosmo! dan TV3 merupakan media rasmi untuk projek tersebut yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Kota dan UMS

Kelah warnai Tasik Kenyir

RATUSAN ribu ikan kelah menanti pengunjung. Mungkin sukar dipercayai dengan jumlah yang terlalu banyak ini.
Namun, ia adalah satu hakikat apabila seseorang itu berkunjung ke santuari kelah di Sungai Petang.
Ikan-ikan kelah itu membiak dengan banyak di sungai berkenaan dan ia dikawal rapi dari sebarang aktiviti pencerobohan seperti memancing dan sebagainya.
Sepanjang tiga kilometer di sebahagian daripada Sungai Petang itu, kawasan berkenaan telah digazetkan sebagai santuari kelah oleh kerajaan negeri Terengganu.
Keunikan Sungai Petang itu sebenarnya telah mengubah wajah Tasik Kenyir yang memang terkenal sebagai kawasan pelancongan sepanjang tahun.
Apabila berkunjung ke santuari kelah, pasti seseorang akan terkejut dan kagum dengan panorama di situ.
Kalau setakat mendengar cerita dari mulut ke mulut, ia belum memadai. Sebaliknya perlu melihat sendiri keunikan santuari tersebut.
Ini kerana ratusan ribu ikan kelah seolah-olah menanti setiap pengunjung yang datang.
Sebaik sahaja berada dalam air di santuari tersebut, ikan-ikan kelah berkenaan akan terus berkerumun mengelilingi pengunjung.
Spesies ikan tersebut seolah-olah tahu pengunjung akan memberi mereka makan.
Bagi pengunjung yang tidak biasa dikerumuni ikan-ikan, mungkin merasa agak janggal, namun perasaan itu hanya seketika.
Sebaliknya, perasaan kagum dan seronok akan menyelubungi pengunjung selepas beberapa minit berada di dalam air.
Dengan menabur palet makanan ikan, ikan-ikan kelah berkenaan akan berebut-rebut untuk memakannya.
Pada masa inilah pengunjung berkesempatan untuk memegang ikan-ikan tersebut.
Malah, pengunjung juga boleh meletakkan palet di sebelah tangan kiri dan memegang ikan di sebelah tangan kanan sambil menyuapkan makanan tersebut pada ikan yang dipegang.
Sukar dipercayai, walaupun sedang dipegang, ikan-ikan itu masih terus memakan palet-palet yang diletakkan di atas tangan.
Jika sebelum ini ramai kalangan kita hanya berkesempatan memegang ikan, tapi di santuari ini satu lagi aktiviti menyeronokkan ialah mencium ikan-ikan tersebut.
Pengunjung boleh mencium ikan-ikan berkenaan secara lembut dan tanpa sebarang masalah.
Inilah pengalaman yang boleh dirasai apabila seseorang itu berkunjung ke santuari kelah di Sungai Petang, Tasik Kenyir.
Ikan-ikan kelah berkenaan walaupun hidup secara liar dalam habitat semulajadinya, namun ia tetap jinak kepada para pengunjung.
Apabila dipegang, ikan-ikan berkenaan memberikan tindak balas yang lembut.
Walaupun badan ikan kelah itu licin, namun pengunjung masih boleh memegangnya dan ia satu pengalaman yang amat menyeronokkan.
Bermandi-manda sambil memberi makan ikan kelah suatu kemestian jika pengunjung mahu melalui pengalaman unik di Tasik Kenyir.
Dengan air yang jernih dan bersih, Sungai Petang pasti tidak mengecewakan para pelancong yang mengunjunginya termasuk untuk mandi-manda.
Sehubungan itu, tidak hairanlah santuari kelah di Sungai Petang sesuai dijadikan lokasi untuk kegiatan kaji selidik dan pembangunan dan penyelidikan (R&D).
Beberapa agensi dan universiti dikatakan berminat untuk menjalankan penyelidikan mengenai kelah serta flora dan fauna yang terdapat di sekitar Sungai Petang.
Selain Sungai Petang, beberapa sungai yang terdapat di sekitar Tasik Kenyir juga didapati sesuai untuk hidupan spesies ikan lain seperti toman, tilapia dan beberapa spesies lain.
Ini diakui sendiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang mengenai keunikan yang terdapat di santuari kelah.
Menurut beliau, sungai-sungai lain di Tasik Kenyir juga kaya dengan pelbagai spesies ikan dan sesuai untuk aktiviti memancing.
Mengenai santuari kelah, beliau berpandangan, ia bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancong, malah dapat meningkatkan ilmu pengetahuan orang ramai apabila mengunjungi santuari berkenaan.
Ini kerana, pengunjung boleh mempelajari mengenai spesies kelah yang dapat membiak dengan banyak disebabkan faktor-faktor semulajadi di situ.
Berada di santuari kelah adalah sebahagian daripada keunikan ketika melancong di Tasik Kenyir.
Tasik seluas negeri Melaka itu turut mempunyai lokasi-lokasi lain yang dapat menarik kehadiran pelancong.
Ini kerana Tasik kenyir turut menyajikan keunikan dan keindahan lain apabila berkunjung ke sini.
Gua Bewah - tempat penemuan rangka manusia beribu tahun, pulau tropika, pulau burung, pulau orkid dan banyak lagi. Semua ini menjadi daya tarikan pengunjung apabila berkunjung ke Tasik Kenyir.
Rangka manusia yang ditemui di Gua Bewah telah meletakkan Tasik Kenyir antara lokasi bersejarah bukan sahaja kepada negara, malah di mata dunia.
Di samping itu, memandangkan banyak lokasi menarik dan pelbagai aktiviti boleh dilakukan di Tasik Kenyir, tidak hairanlah untuk melihat keseluruhan kawasan tasik ini, ia mengambil masa agak lama.
Dengan menaiki bot laju sahaja, seseorang itu memerlukan empat hingga lima hari untuk melawat sebahagian besar tempat-tempat menarik.
Malah, pengunjung juga perlu membuat persiapan awal terutama dari segi bekalan minyak diesel dan petrol bagi kegunaan bot kerana tasik ini amat luas.
Bagi mereka yang gemar bersantai menggunakan houseboat, masa lebih seminggu diperlukan untuk meneroka kawasan-kawasan menarik di Tasik Kenyir.
Kerana keunikan dimiliki Tasik Kenyir inilah menjadikan ia sebagai destinasi menarik untuk kaki pancing.
Namun, mereka yang ingin 'berjuang' mendapatkan ikan-ikan dari tasik ini harus mengetahui petua-petua memancing.
Petua-petua tersebut adalah dari segi umpan.
Memancing di Tasik Kenyir apa berlainan memancing di sungai-sungai lain atau laut.
Di sini, pengunjung memerlukan umpan-umpan tertentu seperti buah-buah kelapa sawit yang diperam bersama bahan-bahan tertentu, umpan anak ikan hidup, palet dan sebagainya.
Sementara itu, Tengku Putera berkata, beberapa projek pelancongan yang mampu menjadi daya tarikan ramai kini dalam proses untuk disiapkan di Tasik Kenyir.
''Ini termasuk mewujudkan pulau burung di mana pelbagai spesies burung boleh didapati di sini.
''Pulau burung ini berkonsepkan langit terbuka tanpa ada jaring atau bumbung. Namun, burung-burung ini tidak akan terbang jauh sebaliknya pengunjung berpeluang memberi makan burung-burung ini,'' katanya.
Begitu juga dengan pulau tropika di mana pelbagai spesies pokok buah-buahan yang hampir pupus sedang giat ditanam di pulau ini.
Ini termasuk pokok ceri Terengganu dan beberapa pokok lain yang sukar diperolehi di tempat lain.
Di samping itu, satu lagi daya tarikan di Tasik Kenyir ialah projek ternakan ikan dalam sangkar.
Pengunjung bukan sahaja berkesempatan untuk melawat tempat-tempat ini, malah belajar dan menimba ilmu dari cara ikan-ikan itu dibiak.
Dengan pakej yang disajikan di Tasik Kenyir, pengunjung pasti tidak mudah kecewa dengan tempat-tempat yang dilawati.
Malah, pembangunan di tasik ini dilihat masih diteruskan termasuk ia bakal memiliki pengangkutan kereta kabel untuk pengunjung melawat pulau-pulau tertentu.

Hasil benih kelah terbaik

IKAN kelah bukan sahaja terkenal kerana keenakan rasa dagingnya yang mempunyai tekstur yang halus malah ia sangat kuat melawan sekiranya terkena mata pancing.
Justeru, kombinasi semangat juangnya yang tinggi apabila terkena mata kail serta isinya yang sedap menjadikannya buruan kaki pancing dan peminat ikan air tawar.
Akibat tekanan penangkapan yang melampau dan permintaan yang tinggi di pasaran ia kini diancam kepupusan.
Dikenali sebagai ‘King of the River’, kelah merupakan ikan yang hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia.
Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia dan di Malaysia hanya terdapat tiga spesies.
Kebanyakan ikan kelah yang dijumpai di Malaysia ialah kelah merah.
Menurut Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut.
”Secara logiknya, ikan kelah adalah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju.
”Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat tersebut.
Selain itu, ikan kelah mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik.
Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping.
Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor).
Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya.
Ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai.
Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekali gus.

Pembenihan kelah merah sukar

KUALA LUMPUR: Peningkatan minat orang ramai terhadap kelah (Tor Tambroides) dengan menjadikannya ikan peliharaan dalam akuarium semakin menyerlah sejak kebelakangan ini. Ia kerana keunikan ikan berkenaan yang memiliki sisik yang cantik, aktif dan bernilai tinggi.
KUALA LUMPUR: Peningkatan minat orang ramai terhadap kelah (Tor Tambroides) dengan menjadikannya ikan peliharaan dalam akuarium semakin menyerlah sejak kebelakangan ini. Ia kerana keunikan ikan berkenaan yang memiliki sisik yang cantik, aktif dan bernilai tinggi.


Serupa dengan jenis ikan kap yang lain, kelah adalah omnivor dan makan bukan saja alga, krustasia, serangga, katak, dan ikan yang lain, tetapi juga buah-buahan yang jatuh daripada pokok-pokok di atas.


Bagaimanapun, spesies ikan yang mendiami sungai serta tasik, dan naik ke anak sungai yang pantas serta dasar sungai yang berbatu-batan untuk bertelur amat sukar untuk dibiakkan walaupun pelbagai usaha dilakukan. Ia termasuk proses aruhan seperti dilakukan terhadap tilapia, keli, haruan, ketutu dan ikan puyu.


Tidak hairanlah, ramai penternak ikan kelah di negara ini menggunakan kaedah tradisional iaitu menjejak anak kelah yang baru menetas di air cetek sungai berbatu dengan berbekalkan lampu suluh. Anak-anak kelah begitu mudah dikesan di tengah malam kerana suluhan lampu memantulkan warna keemasan siripnya dan ia kurang aktif serta mudah ditangkap.


Bagi penternak ikan kelah merah, Othman Abdul Wahab, berkata beliau pernah bekerjasama dengan pegawai penyelidik Jabatan Perikanan Malaysia untuk menghasilkan benih kelah menerusi suntikan hormon ke atas induk ikan, bagaimanapun tidak berjaya.


“Kelah memerlukan suasana semula jadi untuk menghempas perutnya ke batu-batu di sungai berarus deras bagi mengeluarkan telurnya. Namun, apa yang berlaku kolam berbatu palsu atau ‘rock garden’ tidak sesuai dan induk kelah berkenaan tercedera dalam usahanya menghempas telur.


“Kalau usaha itu berjaya dilakukan, daripada 20,000 telur yang dikeluarkan kurang satu peratus saja berjaya menetas. Malah, kalau hidup sehingga dua sentimeter pun kurang daripada 20 ekor, ini boleh dianggap gagal,” katanya kepada wartawan Joran.


Othman berkata, beliau memperoleh benih kelah daripada beberapa peraih dan kaki pancing dari Pahang, Kelantan dan Terengganu, iaitu beberapa bulan selepas musim tengkujuh kerana ketika itulah air sungai mulai turun serta berarus deras.


Katanya, tindakan beliau menternak kelah daripada anak sebesar satu inci hinggalah dewasa bagi menyahut seruan kerajaan dalam usaha mengekalkan populasi spesies yang menghadapi kepupusan.


PERINGATAN orang ramai supaya tidak menangkap kelah semata-mata untuk dijadikan juadah makan malam atau tengah hari. Sebaliknya, sebagai ikan peliharaan di dalam rumah dan mendatangkan ketenangan apabila melihatnya berenang di dalam akuarium terutama apabila menghadapi tekanan di tempat kerja.

Dulu, memang tidak dinafikan saya salah seorang pemburu kelah kerana amat menggemari keenakan isinya. Namun, hari ini menjadikan ikan berkenaan sebagai ternakan dan menjualnya sebagai ikan peliharaan,” katanya.


INFO
Harga ikan kelah hiasan antara RM500 hingga RM1,000 sekilogram.